Kuala Lumpur, Oct-
Punca utama kejadian lubang benam di Jalan Masjid India pada Ogos tahun lepas dikenal pasti kerana kegagalan struktur paip pembetungan yang mereput akibat tindak balas kimia dan ketidakstabilan tanah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata hasil siasatan pasukan khas diketuai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendapati insiden itu tidak berpunca daripada kewujudan lapisan batu kapur di bawah tanah seperti yang dibimbangi orang ramai.
“Lokasi kejadian terletak di atas Formasi Kenny Hills dan didasari batuan syis, manakala lapisan batu kapur hanya ditemukan pada kedalaman 60 hingga 70 meter. Oleh itu, insiden berkenaan tidak boleh dikaitkan secara langsung dengan batu kapur.
“Rumusan daripada pasukan khas juga mendapati kegagalan struktur paip pembetungan yang telah mereput akibat tindakan balas kimia serta ketidakstabilan tanah antara faktor utama yang menyebabkan terbentuknya rongga di bawah struktur pejalan kaki, yang akhirnya mencetuskan insiden lubang benam itu,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.























