Kuala Lumpur, Okt-
Malaysia dijadual menerima Anugerah Penghargaan Khas Zero Waste Foundation, kategori tertinggi bagi anugerah itu sebagai pengiktirafan terhadap komitmen negara dalam mempromosikan prinsip ekonomi kitaran dan pengurusan sisa mampan.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam kenyataan memaklumkan anugerah itu akan disampaikan minggu ini di Forum Sifar Sisa Global 2025, yang bermula esok hingga 19 Oktober di Istanbul, Turkiye dan dijangka menghimpunkan peserta dari 104 negara serta 118 rakan organisasi antarabangsa.
Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang mengetuai delegasi Malaysia ke forum berkenaan berkata, beliau berbangga mewakili negara di pentas dunia bagi menunjukkan kemajuan yang telah dicapai serta mempelajari amalan terbaik negara lain dalam memajukan agenda sifar sisa.
“Sebagai Presiden Perhimpunan Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat), saya menyambut baik usaha mengukuhkan kerjasama dengan pakar sifar sisa dan rakan global bagi mempercepatkan penyelesaian bandar mampan,” katanya dalam kenyataan itu.




















