MH370: Pencarian akan disambung semula

Kuala Lumpur, Dis-
Operasi pencarian bagi mengesan serpihan pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang sejak 2014 akan disambung semula pada 30 Disember ini.

Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam satu kenyataan memaklumkan, syarikat pencarian, Ocean Infinity sudah mengesahkan akan memulakan semula operasi pencarian di dasar laut secara berperingkat selama 55 hari.

“Pencarian akan dijalankan di lokasi sasaran yang dinilai mempunyai kebarangkalian tertinggi untuk menemukan pesawat berkenaan, selaras perjanjian perkhidmatan dimeterai antara kerajaan Malaysia dan Ocean Infinity pada 25 Mac lalu.

“Perkembangan terkini ini menekankan komitmen kerajaan dalam memberikan kepastian kepada keluarga yang terkesan oleh tragedi ini,” katanya hari ini.

Pada April lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengesahkan pencarian Malaysia Airlines penerbangan MH370 oleh Ocean Infinity dihentikan sementara.

Pada 8 Mac 2014, penerbangan MH370 yang dalam perjalanan ke Beijing hilang dari radar komersial kurang dari satu jam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Radar tentera kemudian mendedahkan bahawa pesawat itu membuat putaran 180 darjah menyeberangi Semenanjung Malaysia ke Selat Melaka, berpusing ke utara, dan terakhir dikesan di suatu tempat di utara Sumatera.

Analisis seterusnya menggunakan teknologi satelit menunjukkan bahawa pesawat itu yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, akhirnya berakhir di Lautan Hindi selatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here