KPM kaji keperluan kembalikan UPSR, PT3

Putrajaya, Jam-

Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengkaji semula keperluan untuk mengembalikan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) serta Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

Sehubungan itu, KPM mengaktifkan semula Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) untuk melaksanakan kajian berkenaan, tahun ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata ia selepas mengambil kira keluhan ramai ibu bapa berhubung pemansuhan UPSR serta PT3 masing-masing pada 2021 dan 2022.

Beliau berkata, laporan kaji selidik oleh MPPK dan segala hasil dapatan berkaitan nanti akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk tindakan lanjut.

“Kita akan mengkaji semula peperiksaan berkenaan kerana ia masih menjadi permintaan ibu bapa.

“Apa saja peperiksaan yang disebut atau yang berada dalam polemik masyarakat itu, saya minta Dr Mohd Azam Ahmad (Ketua Pengarah Pendidikan) memberikan pandangan dan ahli-ahli MPPK akan membincangkannya nanti  katanya pada sidang media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 Menteri Pendidikan di Putrajaya, hari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here