Penduduk Klang perlu kebenaran polis untuk keluar kawasan PKPB

Orang ramai yang tinggal di kawasan dilaksanakan sekatan jalan raya di mukim Klang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai hari ini, perlu mendapatkan kebenaran polis untuk keluar dari kawasan itu bagi tujuan bekerja dan urusan penting.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata borang kebenaran itu boleh dimuat turun dalam laman Facebook Polis Daerah Klang Selatan.

Beliau berkata pelaksanaan sekatan jalan itu diadakan di Bayu Perdana, Sri Andalas serta Bukit Tinggi dalam mukim Klang.

“Untuk memudahkan orang ramai, pihak polis turut menyediakan sebuah balai polis bergerak di kawasan ini untuk mengendalikan borang kebenaran agar mereka tidak bersesak di balai polis berdekatan. Selain itu, mereka juga perlu mengemukakan borang daripada majikan untuk tujuan tersebut.

“Setiap permohonan, kami akan pertimbangkan sama ada ia merupakan perkhidmatan perlu atau tidak sebelum kebenaran diberi,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di kawasan yang dikenakan PKPB di sini, tengah malam tadi.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Shamsul Amar Ramli.

Noor Azam berkata pihaknya amat berharap masyarakat di kawasan berkenaan dapat memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dalam usaha memerangi pandemik Covid-19.

Rabu lepas, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan, kerajaan mengenakan PKPB di zon merah iaitu Sandakan, Papar, Tuaran di Sabah dan Klang di Selangor, bermula 9 Oktober susulan peningkatan kes Covid-19 di kawasan berkenaan.

Ismail Sabri dilaporkan berkata pelaksanaan PKPB adalah bagi membendung penularan Covid-19 di kawasan terbabit, selain bagi membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar dilaksana sepanjang tempoh 14 hari.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here