Putrajaya, Mac.
Penduduk Putrajaya menunjukkan trend melebihi kadar populasi nasional dari segi kadar obesiti, kurang melakukan aktiviti fizikal dan paras kolesterol tinggi dalam darah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.
Beliau berkata, statistik sama yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan turut mencatatkan kadar kemurungan dan kebimbangan (anxiety) tertinggi dalam kalangan penduduk di Kuala Lumpur serta Putrajaya.Justeru, katanya, badan sukan penting sebagai agen untuk membentuk masyarakat sihat dan aktif, selain berperanan sebagai pentadbir serta pendorong kepada prestasi atlet.
“Hal ini sebenarnya agak membimbangkan dan perlu ada intervensi semua pihak, termasuk peranan proaktif perlu dimainkan badan sukan yang kita ada ini,” katanya selepas Majlis Penyerahan Bantuan Madani kepada Badan Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya semalam.
Menurutnya, badan sukan ini disarankan menganjur dan menyokong program sukan yang dapat meningkatkan gaya hidup aktif serta penyakit tidak berjangkit bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat.























