Kuala Lumpur, Apr.
Sebuah NGO menyokong pembaharuan menggesa kerajaan tidak tergesa-gesa membentangkan Rang Undang-undang (RUU) pindaan kerakyatan pada sidang Dewan Rakyat akan datang, sebaliknya perlu memulakan proses itu semula.
Projek Sama berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) boleh memilih membentangkan kertas hijau dengan mengemukakan cadangan pindaan Perlembagaan untuk maklum balas awam dan perbincangan awam, atau kertas putih bagi kerajaan menyokong cadangan itu “dengan fakta dan statistik”.
Katanya, pilihan lain ialah menyerahkan RUU itu kepada jawatankuasa Parlimen untuk meneliti cadangan pindaan Perlembagaan, seperti undang-undang antilompat parti dan RUU tembakau generasi penamat (GEG) yang dibatalkan.
“Projek Sama menggesa pengerusi tiga jawatankuasa Parlimen, iaitu Jonathan Yasin (keselamatan), William Leong (hak asasi manusia, pilihan raya dan reformasi institusi) serta Yeo Bee Yin (wanita, kanak-kanak dan pembangunan masyarakat) memulakan inkuiri ke atas RUU itu, dengan atau tanpa rujukan menteri.
“Syarat rujukan jawatankuasa itu membolehkan mereka meneliti mana-mana RUU berkaitan di bawah tanggungjawab KDN atau yang mempunyai kesan ke atas Perlembagaan Persekutuan, hak asasi manusia dan kebajikan masyarakat.
“Jika dirujuk kepada jawatankuasa Parlimen, semua pihak berkepentingan boleh dipanggil untuk membentangkan hujah mereka dan orang ramai boleh dimaklumkan secara maksimum,” katanya dalam kenyataan.





















