Kuala Lumpur, Jun-
Berang ditegur menunggang motosikal tanpa topi keledar, dua individu yang mabuk bertindak nekad membaling pasu tembikar ke arah Balai Polis Serdang pada awal pagi tadi.
Ketua Polis Serdang, A.A. Anbalagan dalam kenyataan berkata tiada anggota polis yang cedera dalam kejadian 6.30 pagi itu.
Semasa kejadian, dua suspek yang menaiki sebuah motosikal berhenti di hadapan balai polis dan ketika seorang daripada anggota polis yang bertugas bertanyakan tujuan mereka, pembonceng membaling pasu ke arah pagar dan kemudian melarikan diri.
“Motif kejadian disyaki kerana tidak berpuas hati susulan pada 2.30 pagi, anggota yang bertugas telah menegur sekumpulan lelaki bermotosikal yang tidak menggunakan topi keledar di persimpangan lampu isyarat kira-kira 20 meter dari balai berkenaan,” katanya.




















