Kuala Lumpur, Julai-
Seorang pakar pendidikan mencadangkan Kolej Tingkatan 6 Premium ditukar nama kepada Kolej Pra Universiti dalam usaha menarik lebih ramai pelajar memasukinya.
Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Anuar Ahmad, berkata nama Tingkatan 6 itu dilihat masih menggambarkan mereka sebagai pelajar sekolah dan tidak begitu sesuai.
“Jangan guna istilah Tingkatan 6 dan tukar kepada Kolej Pra Universiti sebagai persiapan untuk masuk ke universiti. Untuk penjenamaan mesti bermula dengan nama supaya pelajar dapat pengalaman baru,” katanya kepada FMT.
Pada 23 Julai lalu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata Kementerian Pendidikan (KPM) dijangka melaksanakan Kolej Tingkatan 6 Premium tahun depan, iaitu program khusus bagi meningkatkan mutu dan kualiti pengajian itu. Beliau berkata, KPM dan Kementerian Pendidikan Tinggi giat bekerjasama untuk merealisasikan inisiatif itu, yang menyahut hasrat kerajaan ingin melihat Tingkatan 6 terus menjadi pilihan utama lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Free Malaysia Today
Anuar Ahmad.
Anuar yang menyokong inisiatif itu kerana memberi banyak pilihan kepada lepasan SPM turut mencadangkan tenaga pengajar bagi pelajar Tingkatan 6 dijenamakan daripada guru kepada pensyarah.
Katanya, pentadbiran juga perlu dirombak dengan mewujudkan jawatan pengarah yang mengetuai Kolej Pra Universiti.





















