Melaka, Feb-
Seorang lelaki melompat keluar dari lori lima tan dipandunya ketika diekori pasukan penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hingga menyebabkan kenderaan itu merempuh sebuah rumah di Jalan KJ51, Taman Krubong Jaya, petang tadi.
Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Shariff, berkata dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, pemandu berusia 27 tahun itu berjaya ditahan dengan bantuan penduduk setempat.
Katanya, lori itu dikesan di Lebuh Sungai Udang–Paya Rumput–Ayer Keroh (SPA) sebelum diarah berhenti oleh pasukan penguat kuasa untuk pemeriksaan.
“Namun, pemandunya enggan berhenti dan berlaku insiden mengejar hampir sejam sejauh 25 kilometer sehingga ke Taman Krubong Jaya.
“Lelaki itu kemudian melompat keluar dari lori menyebabkan kenderaan itu bergerak tanpa kawalan dan merempuh sebuah rumah di Jalan KJ51, Taman Krubong Jaya,” katanya dihubungi di sini.
Menurutnya, insiden ini mengakibatkan kerosakan pada pagar, tembok rumah dan pikap Mitsubishi Triton.





















