TUJUH KENDERAAN DIREMPUH LAGI OLEH LORI DENGAN MUATAN TAR

Kuala Lumpur, Sept 10-

Sekurang-kurangnya tiga daripada tujuh kenderaan remuk selepas dirempuh sebuah lori dalam kemalangan di Persiaran Bukit Rahman Putra 1, Sungai Buloh dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Shafa’aton Abu Bakar berkata, dalam kejadian kira-kira 6.20 petang itu, sebuah lori dengan muatan tar dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh menuruni bukit kerana mengalami masalah brek.

“Lori tersebut merempuh tiga kereta jenis Perodua Myvi, Axia dan Honda Jazz, sebuah kenderaan pacuan empat roda, dua van serta sebuah lori kren yang sedang berhenti menunggu lampu isyarat merah.

“Semua mangsa berusia lingkungan antara 35 hingga 57 tahun tidak mengalami kecederaan dan kemalangan hanya melibatkan kerosakan kenderaan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pihaknya kini menjalankan siasatan terhadap pemandu lori berusia 35 tahun itu termasuk menjalankan ujian air kencing bagi mengenal pasti individu tersebut memandu bawah pengaruh dadah atau sebaliknya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kejadian membabitkan rempuhan lori sebelum ini dilaporkan berlaku di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur pada Isnin lepas melibatkan lima kenderaan, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here