Polis siasat pekerja simbah air panas pada anjing

Kuala Lumpur, Mac-
Polis sedang melengkapkan siasatan kes seorang pekerja sebuah kedai serbaneka di Ipoh yang didakwa menyimbah air panas ke atas seekor anjing.

Pemangku Ketua Polis Ipoh, Mohamad Sajidan Abdul Sukor berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 12.30 tengah malam Jumaat lepas lapor Bernama.

Katanya, polis sedang melengkapkan siasatan sebelum kertas siasatan dirujuk kepada pendakwa raya negeri untuk tindakan lanjut.

“Siasatan awal polis mendapati seorang lelaki warga asing telah menyimbah secawan air panas ke atas seekor anjing liar yang berlegar di luar premis.

“Anjing tersebut telah diselamatkan dan dihantar ke klinik veterinar berhampiran bagi tujuan rawatan,” katanya.

Terdahulu, KK Super Mart berkata pekerja di kedai serbaneka di Jalan Besar, Menglembu, Ipoh sudah ditamatkan kontrak serta-merta selepas siasatan dalaman dijalankan.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular di media sosial sejak semalam menunjukkan seorang individu mengambil air panas di mesin pemanas air premis itu menggunakan cawan sebelum menyimbah ke anjing berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here