Subang Jaya, Apr-
Kebakaran besar yang berlaku di Putra Heights, di sini yang sedang berlaku dikesan membabitkan kebocoran saluran paip gas bawah tanah sepanjang 500 meter.
Api yang marak daripada kejadian itu menyebabkan penduduk perumahan awam berhampiran dipindahkan dan setakat jumlah mangsa terkesan belum dapat dipastikan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail, berkata pasukan membabitkan kekuatan 62 pegawai dan anggota sedang bertungkus lumus memadamkan api yang marak.
Menurutnya, pasukan dengan sembilan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, Puchong, Shah Alam, Bukit Jelutong, Cyberjaya, Rawang, Klang Selatan, Klang Utara serta Damansara membantu operasi berkenaan.
“Bomba menerima panggilan kejadian 8.10 pagi sebelum kesemua pasukan termasuk Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) dikejarkan ke lokasi.
“Komander operasi memaklumkan kebakaran membabitkan kebocoran saluran paip gas Petronas anggaran panjang 500 meter yang mana api sedang marak menjulang ke atas,” katanya dalam kenyataan hari ini.




















