Rumah Di Ulu Kinta Jadi Pusat Panggilan Untuk Judi Atas Talian Dari China

Serbuan pihak polis ke atas sebuah rumah dua tingkat di Ulu Kinta, dekat sini semalam berkaitan jenayah scammer atau penipuan pelaburan membawa kepada pembongkaran aktiviti perjudian atas talian yang berpusat di China.

Dalam operasi yang dijalankan sekitar jam 6 petang itu seramai enam lelaki dan dua perempuan warga tempatan berlingkungan umur 19 ke 25 yang bertindak sebagai operator tahun telah ditahan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, siasatan awal mendapati rumah tersebut telah dijadikan sebagai pusat panggilan bagi kegiatan yang beroperasi sejak sebulan lalu.

“Maklumat awal yang kita terima wujudnya aktiviti scammer tersebut dan pusat panggilannya di Ulu Kinta. Selepas serbuan dilakukan, kita mendapati sebenarnya ia merupakan aktiviti judi atas talian.

“Kita mendapati ia merupakan modus operandi terbaru di sini untuk mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini, hari ini.

Mengulas tentang modus operandi, Asmadi berkata suspek akan mengajak mangsa yang terdiri daripada warga tempatan dan China untuk terlibat dalam satu aktiviti pelaburan menggunakan aplikasi WhatsApp.

“Pelbagai tawaran yang cuba dibuat suspek dan salah satunya ialah pelaburan melalui judi atas talian.

“Saya juga difahamkan suspek boleh memanipulasi sistem yang mana apabila mangsa dikatakan telah berjaya membuat pelaburan yang besar, mereka kemudiannya boleh membuatkan mangsa mengalami kerugian,” jelas beliau.

Kesemua suspek termasuk tiga yang mempunyai rekod lampau berkaitan pelbagai kesahan telah direman empat hari bermula hari ini.

Turut dirampas lapan komputer riba, 22 telefon pelbagai jenis, tiga buku catatan mengandungi maklumat akaun media sosial serta empat kad mesin pengeluaran wang (ATM) bank tempatan.

Tambah Asmani siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(C) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda RM5,000 sehingga RM50,000 dan penjara tidak melebihi tiga tahun.

Selain itu suspek juga berdepan denda dengan kadar sama bagi setiap mesin judi yang dirampas.

Dalam pada itu Asmadi mengingatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan aktiviti sedemikian selain memberi amaran agar tidak ada mana-mana pihak cuba untuk memanipulasi wang orang awam.

Katanya pihak polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas termasuk mengenakan Akta Pencegahan Jenayah 1957 (POCA) ke atas pelaku.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here