Tasek Gelugor, Julai- Seorang lelaki berusia 34 tahun ditemukan tidak bernyawa dalam sebuah kereta yang berkunci di belakang lot kedai Taman Ara Mutiara di sini malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang John Sagun Francis berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.50 malam sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi.
“Setibanya di tempat kejadian mendapati sebuah kereta jenis Mazda CX5 berada dalam keadaan enjin masih hidup.”Pemeriksaan mendapati terdapat seorang lelaki berada di tempat duduk pemandu dalam keadaan tidak sedarkan diri manakala pintu kereta berkunci,” katanya dalam kenyataan hari ini.
John berkata bomba bertindak membantu pihak polis membuka pintu kereta tersebut dengan menggunakan peralatan khas namun mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh petugas kesihatan yang turut berada di lokasi kejadian.






















