Ulam-ulaman, ikan rebus dan bakar rahsia Tok Pora kekal sihat

LANGKAWI – Amalan mengambil ulam-ulaman, hanya makan ikan yang direbus dan bakar serta mengelak menu bergoreng menjadi resipi rahsia buat wanita ini kekal sihat pada usia lebih 100 tahun.

Sepora Amin, 104, berkata dia percaya pilihan menu sihat serta kehidupan aktif yang diamalkan sejak usia remaja membantu dirinya untuk terus kekal sihat tanpa sebarang masalah kesihatan.

“Sejak muda lagi saya memang aktif turun ke laut untuk menangguk udang siring dan mencari siput, aktiviti tersebut diteruskan selepas berkahwin untuk membantu Allahyarham suami.

 

 

“Selain itu saya amalkan makan pucuk kayu seperti pucuk cemumar, pucuk kaduk, pucuk palas atau apa sahaja pucuk kayu yang boleh dimakan. Ikan pula direbus atau bakar kerana saya memang tidak suka makan masakan rendang atau bergoreng,” kata ibu tunggal ini.

Sepora atau dikenali dengan panggilan Tok Pora berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Jamaludin Othman di rumahnya di Kampung Telok Berembang, Pulau Tuba di sini hari ini.\

Kisah Tok Pora yang masih kuat turun ke laut pada usia emas untuk menangguk udang siring dan mencari siput tular di media sosial baru-baru ini.

Bercerita lebih lanjut Tok Pora, ibu kepada enam cahaya mata ini mengakui kadangkala anaknya menasihati beliau supaya tidak turun ke laut atas faktor usia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here