Pemerintah Kuwait mangkat pada usia 91 tahun

Pemerintah Kuwait, Emir Sabah al-Ahmad al-Jaber al-Sabah mangkat dalam usia 91 tahun ketika terima rawatan di sebuah hospital di Amerika Syarikat (AS) pada 29 September.

Baginda menaiki takhta negara kecil Arab Islam dan kaya minyak di rantau Asia Barat itu pada 29 Januari 2006 setelah ambil alih daripada saudaranya yang uzur, Sheikh Saad Al-Abdullah Al-Salim.

“Dengan penuh rasa dukacita, kami berkabung atas kemangkatan Emir Kuwait,” kata Menteri Hal Ehwal Kerabat Diraja, Sheikh Ali Jarrah al-Sabah menerusi siaran khas di televisyen kebangsaan.

Pengumuman berita sedih itu sekali gus catat sejarah seorang lagi pemimpin kesultanan di rantau berkenaan meninggal dunia untuk tahun ini selepas Sultan Oman, Qaboos Said pada 10 Januari lalu.

Media tempatan melaporkan, almarhum Sabah al-Ahmad dibawa menaiki pesawat tentera AS pada 6 Ogos lalu bagi rawatan susulan di pusat perubatan ternama, Mayo Clinic di Rochester, Minnesota.

Dilahirkan pada 16 Jun 1929, baginda merupakan Emir Kuwait ke-15 daripada dinasti Al-Sabah yang berkuasa 260 tahun lalu sejak pemimpin pertama, Sheikh Abu Salman Sabah I Al Jaber pada 1752.

Kebetulan, baginda ialah piut moyang pengasas Kuwait moden dan emir ketujuh, Sheikh Mubarak Al-Sabah yang menandatangani perjanjian persahabatan dengan pihak penjajah British pada 1899 lalu.

Pernah dilantik sebagai Menteri Luar selama empat dekad dari 1963 hingga 2003, almarhum lebih dianggap seumpama arkitek moden dasar antarabangsa negara itu sebelum jadi perdana menteri.

Ia ekoran Kuwait pernah ditawan jirannya, Iraq pada 1990 yang cetus Perang Teluk selain baginda aktif sebagai hos pendamai konflik di Syria serta krisis diplomatik antara Arab Saudi dengan Qatar.

Namun, Sabah al-Ahmad hidup duda sejak isterinya, Fatuwah Salman mangkat pada 1990 dengan semayam di Istana Dar Salwa, bersempena nama puteri baginda yang maut akibat barah pada 2002.

Sejak itu, almarhum menderita hidap pelbagai jenis penyakit sehingga pernah jalani pembuangan apendiks pada 2002 dan kemudian terpaksa melalui pembedahan pundi kencing pada 2007 lepas.

Susulan kemangkatan Sabah Al-Ahmad, adik tiri baginda iaitu Putera Mahkota Nawaf al-Ahmad, 83, yang juga perdana menteri dan panglima tentera Kuwait bakal naiki takhta kerajaan monarki tersebut.

Tugas getir sudah bayangi Emir ke-16 itu apabila Kuwait, dengan penduduk 4.4 juta orang; berdepan cabaran isu penularan wabak berbahaya Covid-19 apabila catat lebih 104,000 kes dan 605 kematian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here