Malaysia lebih kompetitif pengecualian visa pelancong China, India

KUALA LUMPUR – Langkah pengecualian visa 15 hari kepada pelancong China dan India mulai 1 Jan akan menjadikan Malaysia lebih kompetitif dalam persaingan menarik pelancong kalangan negara serantau.

Presiden Persatuan Pelancongan Dalam

Malaysia (MITA) Uzaidi Udanis berkata setiap tahun ramai rakyat kedua-dua negara itu berkunjung ke luar negara, dan inisiatif pengecualian visa berkenaan akan membantu meningkatkan jumlah kedatangan mereka ke Malaysia.

“Sebagai contoh, 150 juta warga China mempunyai pasport antarabangsa yang melancong setiap tahun. Kami nak tarik lebih banyak pelancong sebagaimana Thailand misalnya yang menerima 10 juta pelancong China tahun lepas,” katanya kepada pemberita di sini.

Berikutan pengenalan pengecualian visa itu, Uzaidi menganggarkan empat juta pelancong China dan dua juta dari India akan berkunjung ke negara ini sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (VMY 2020).

Langkah pengecualian visa selama setahun yang diperkenalkan kerajaan itu terhad kepada tempoh lawatan 15 hari, tanpa sebarang lanjutan.

Pelancong berkenaan juga perlu pulang ke negara asal dan menunggu 45 hari sebelum layak memohon semula kemudahan pengecualian visa tersebut.

Malaysia menyasarkan ketibaan 30 juta pelancong antarabangsa dan menjana pendapatan bernilai RM100 bilion pada tahun 2020.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here