Seremban Diisytihar Majlis Bandaraya Seremban

SEREMBAN –
Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan mencemar duli mengisytiharkan Seremban sebagai bandar raya dan merasmikan Wisma Majlis Bandaraya Seremban (MBS) di sini, malam semalam.
Turut mencemar duli berangkat ke majlis berkenaan, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud bersama kedua anakanda baginda, Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain Al’Abidin.
Turut hadir, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin serta barisan pimpinan Negeri Sembilan. Upacara istiadat pengisytiharan bermula apabila Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin menyerahkan Surat Cara pengurniaan taraf bandar raya kepada Tuanku Muhriz sebelum baginda menyerahkannya kepada Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Baginda kemudian mengisytiharkan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) dan Majlis Perbandaran Nilai (MPN) digabungkan menjadi MBS berkuat kuasa 1 Jan lalu.

Istiadat itu kemudiannya diteruskan dengan bacaan Surat Cara pelantikan Datuk Zazali Salehudin sebagai Datuk Bandar Seremban yang pertama oleh Aminuddin di hadapan Tuanku Muhriz.

Pada 12 Nov 2008, kerajaan negeri telah meluluskan cadangan untuk mencantumkan MPS dan MPN sebagai satu entiti, selain menaikkan taraf kepada MBS.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here