Majlis Santapan Bulanan Bersama Perwakilan Asing

KUALA LUMPUR –
Majlis Santapan Tengah Hari Diraja Bersama Perwakilan Asing di Istana Negara hari ini adalah inisiatif Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah meraikan dan mengenali dengan lebih dekat perwakilan asing yang bertugas di Malaysia.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata acara yang diadakan julung kali itu melibatkan kumpulan pertama perwakilan daripada 10 negara yang dipilih berdasarkan kekananan mereka atau tarikh mereka mula bertugas di Malaysia.Katanya majlis itu akan dianjurkan setiap bulan untuk memberi ruang kepada Al-Sultan Abdullah untuk turut menyumbang kepada hubungan dua hala Malaysia dengan negara luar dan ia secara tidak langsung turut dapat membantu mempromosi Tahun Melawat Malaysia 2020.

Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke majlis santapan bersama Duta Besar dan Pesuruhjaya Tinggi Asing ke Malaysia itu yang diadakan di Istana Negara.

Turut hadir, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan isteri serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Luar.

Pada sesi pertama hari ini, Seri Paduka beramah mesra dan bertukar-tukar pandangan bersama 10 duta besar dan pesuruhjaya tinggi asing ke Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here