Justeru, apabila timbul masalah kekurangan bekalan dari India sehingga menjejaskan eksport bawang termasuk ke Malaysia sudah tentu harganya akan melambung seperti yang berlaku pada akhir tahun lepas sehingga harga bawang dilaporkan mencecah RM24 sekilogram di sesetengah tempat.
Persoalannya mengapa Malaysia tidak menanam bawang bagi memenuhi kadar sara diri (SSL) kerana negara ini mempunyai kawasan pertanian yang luas dengan tanah yang subur.
Apabila perkara ini diajukan kepada pihak berwajib jawapannya ialah tidak ekonomik jika petani menanam bawang dan harganya akan menjadi lebih tinggi daripada yang diimport selain faktor cuaca negara ini yang tidak sesuai dengan tanaman bawang.
Dalam temubual khas bersama Ketua Pengarah Jabatan Pertanian Mohd Nasir Warris baru-baru ini, beliau menjelaskan bahawa kos import bawang merah dari India adalah jauh lebih murah jika dibandingkan dengan kos pengeluaran bawang merah tempatan.
Sekiranya bawang merah ditanam secara domestik, margin bagi hasil keuntungan petani tempatan untuk penanaman itu adalah sangat kecil dan tidak berbaloi untuk mereka.
“Kalau kita keluarkan (hasilkan) bawang, kita kena jual bawang itu dengan harga seperti bawang yang dimport, jadi ini akan beri margin keuntungan sangat kecil kepada petani dan tidak beri keuntungan kepada petani,” jelasnya.
Kos bawang merah yang diimport dari India lebih murah disebabkan beberapa faktor lain antaranya perusahaan tanaman di negara itu dilakukan secara manual, yang tentunya memerlukan tenaga kerja yang ramai dan India mudah untuk mendapatkan tenaga kerja berbanding Malaysia.
Keadaan cuaca sesebuah negara juga menjadi faktor penting untuk penanaman bawang merah dan ia amat sesuai ditanam dalam iklim sub tropika yang berkelembapan rendah, sebaliknya Malaysia berada di zon khatulistiwa yang lembab.
Cuaca negara ini dengan kelembapan relatif lebih daripada 80 peratus dan menerima taburan hujan sepanjang tahun agak kurang sesuai yang menanam bawang kerana tanaman mudah mendapat penyakit bawaan kulat.