Dr Mahathir, yang juga pemangku Menteri Pendidikan, berkata ini adalah sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menggalakkan penggunaan bahasa Inggeris dan penguasaan bahasa itu dalam sistem pendidikan negara.
“Sangat penting untuk kita memberi masa kepada bahasa Inggeris, khususnya dalam pembelajaran Sains dan Matematik. Geografi dan Sejarah boleh datang dalam mana-mana bahasa tetapi Sains dan Matematik bukan bidang ilmu peribumi (bagi rakyat Malaysia).
“Ia datangnya dari luar negara. Kebanyakannya datang kepada kita dalam bahasa Inggeris, oleh itu kita perlu menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik, “katanya semasa mesyuarat khas bersama Kumpulan Pengurusan Kementerian Pendidikan Malaysia di Putrajaya semalam.
Dr Mahathir juga berkata beliau mendapati mereka yang belajar Sains dalam bahasa Melayu kemudiannya sukar untuk bekerja di mana bahasa Inggeris diperlukan.
Perdana Menteri juga mengakui bahawa negara dan rakyat ingin melihat pembaharuan dalam dasar pendidikan negara.