Kanak-kanak hilang ditemui selamat

Seorang kanak-kanak lelaki berusia satu tahun lapan bulan yang dilaporkan hilang di sebuah perumahan di Presint 15 di sini semalam, ditemui selamat.

Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Rosly Hassan berkata kanak-kanak itu ditemui pasukan penyelamat di tingkat 17 bangunan itu pada 1.25 pagi, iaitu kira-kira tujuh jam selepas dilaporkan hilang.

Beliau berkata kehilangan kanak-kanak itu disedari bapa mangsa pada 6.12 petang apabila dihubungi anak sulungnya yang bertanyakan sama ada adik bongsu mereka daripada enam adik-beradik itu ada bersama bapanya ketika itu.

“Semasa kejadian, kanak-kanak itu dijaga oleh abang sulungnya yang berumur 14 tahun di rumah mereka di tingkat lima. Abangnya kemudian turun untuk membuang sampah ketika mangsa bermain bersama yang lain di depan rumah, iaitu pada kira-kira 6 petang.

“Kanak-kanak itu dikatakan telah mengekori abangnya tanpa disedari. Abang mangsa hanya menyedari kehilangan adiknya 12 minit kemudian sebelum bertindak menghubungi bapanya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata pasukan penyelamat mengesahkan menjumpai kanak-kanak itu di tingkat 17 bangunan itu seorang diri dalam kelaparan pada 1.25 pagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here