Pihak berkuasa Macau diminta jangan ambil mudah isu Jho Low: KPN

Pihak berkuasa Macau perlu mengambil berat notis merah yang dikeluarkan oleh Interpol berhubung ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low yang dikesan berada di Macau baru-baru ini, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata ini berikutan Jho Low dikesan telah membuat beberapa transaksi perniagaan di Macau dan pihak berkuasa negara berkenaan pula didapati enggan memberi kerjasama serta tiada maklum balas.

“Kami telah menghantar pegawai polis ke Macau untuk berjumpa dengan pihak berkuasa negara itu untuk bekerjasama dalam hal ini.

“Mereka sepatutnya mengambil berat dalam hal ini kerana Jho Low (disyaki) merupakan seorang penjenayah dan perompak yang menyebabkan Malaysia mengalami hutang negara berbilion ringgit,” katanya kepada Bernama selepas majlis serah terima tugas jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, di Bukit Aman, di sini.

Abdul Hamid berkata pihaknya sentiasa bersedia membantu pihak berkuasa negara itu kerana isu Jho Low merupakan isu jenayah dan tidak mempunyai kaitan dengan isu politik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here