Jutawan Australia Maha Sinnathamby kelahiran Malaysia

Perjalanan dari Negeri Sembilan ke Queensland, Australia boleh mengambil masa sehari sekiranya anda menaiki kapal terbang, tetapi bagi jutawan Maha Sinnathamby, perjalanan beliau mengambil masa seumur hidup.

Beliau yang dilahirkan di sebuah kampung di Rantau, Negeri Sembilan 80 tahun lalu tidak pernah bermimpi satu hari nanti akan menjadi salah seorang orang terkaya di Australia, apatah lagi menjadi pengasas bagi satu daripada bandar terancang induk paling berjaya di dunia.

Tetapi, kini, 28 tahun selepas membeli sebidang tanah seluas 2,860 hektar yang sebelumnya dianggap sebagai tidak bernilai oleh orang lain, Sinnathamby menjadi pendukung utama kepada pembangunan bernilai A$88 bilion yang menjadi kediaman bagi 43,000 penduduk – jauh berbeza daripada ladang getah tempat kelahirannya.

Beliau yang dibesarkan dengan kepercayaan bahawa pendidikan adalah manifestasi bagi kesempurnaan, membeli tanah itu pada 1992 dan merancang untuk membangunkannya.

“Saya dilahirkan di Malaysia yang dilanda perang dan membesar dalam kemiskinan di sebuah kampung kecil tanpa bekalan elektrik serta bekalan air yang mencukupi. Saya belajar dengan ditemani lampu minyak tanah dan saya bukanlah pelajar yang semula jadi cerdik,” katanya kepada Bernama dari Brisbane.

“Tetapi saya sedar bahawa pendidikan adalah mata wang bagi masa depan, Pendidikan adalah satu-satunya mata wang yang boleh ditunaikan di mana-mana sahaja di dunia. Pendidikan merupakan satu-satunya mata wang yang tidak boleh dicuri daripada pemiliknya dan dengan kegagalan pendidikan negara akan tumbang,” kata Sinnathamby.

“Bagi saya, pendidikan adalah jiwa kepada Springfield City dan sebagai bandar pendidikan, pelajar kini membentuk 44.6 peratus daripada populasi kami – kira-kira 15,000 pelajar belajar di 11 sekolah, sebuah universiti dan kolej dengan penduduk sekarang adalah seramai 43,000 orang.”

Greater Springfield, bagaimanapun, lebih daripada sekadar bandar pendidikan kerana ia juga sebuah bandar masa depan, diiktiraf sebagai projek berkepentingan negara, dan dianugerahkan Anugerah Prix D’Excellence FIABCI bagi Komuniti Terancang Induk Terbaik Dunia.

Kini buat kali pertama, Sinnathamby dan rakan kongsi perniagaannya, Bob Sharpless, mencari rakan kongsi, atau konsortium rakan kongsi, yang komited untuk bekerjasama dengan syarikat mereka, Springfield City Group, bagi mempercepatkan pertumbuhan ekonomi bandar tersebut di samping membina kemudahan yang lebih banyak untuk penduduknya.

“Ini adalah pelawaan untuk pasaran menyertai sebuah projek yang unik, yang diiktiraf oleh bekas Perdana Menteri Malcolm Turnbull sebagai pembinaan negara,” katanya.

“Batu asasnya telah diletakkan, lebuh raya dan laluan kereta api bernilai A$8 bilion juga dibina di samping terdapat sebelas sekolah, satu universiti dan sebuah hospital — usaha gigih telah dilaksanakan.

“Kami sedang mencari satu rakan kongsi, atau beberapa rakan kongsi, yang ingin bekerjasama dalam merealisasikan visi kami membina bandar paling futuristik di Australia berasaskan teras kesihatan, pendidikan dan teknologi, dengan aspirasi satu pekerjaan bagi setiap tiga orang penduduk,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here