KLUANG –
Seorang guru lelaki parah akibat ditetak oleh tiga lelaki di hadapan rumahnya di Taman Seri Impian, di sini, awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, S Rajes,37, diserang di depan rumahnya di Taman Sri Impian ketika keluar untuk pergi memulakan tugas oleh tiga lelaki yang tidak dikenali.
Katanya, akibat kejadian itu, mangsa kini dirawat di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang kerana cedera parah di kepala, manakala kedua-dua belah tangan dan kaki ada kesan tetakan dipercayai menggunakan objek tajam.
Polis menerima laporan mengenai kejadian itu daripada jiran guru berkenaan yang terdengar jeritan pada kira-kira pukul 7.00 pagi.
Beliau berkata kejadian berlaku semasa guru itu dikatakan baru keluar rumah untuk ke tempat kerja di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Perdana di sini apabila didatangi tiga suspek dengan menaiki sebuah kereta jenis Perodua Myvi. Katanya guru berkenaan kini berada dalam keadaan kritikal.