Sumber pembacaan yang begitu banyak di dalam arus digital tanpa sekatan, boleh menjadi gelanggang untuk menyebar berita palsu dan lain-lain kandungan sehingga merosakkan masyarakat, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau yang juga pemangku Menteri Pendidikan berkata di sinilah kerajaan dan semua pihak berdepan cabaran pembacaan hari ini dalam membezakan mana yang benar dan palsu, sama ada (kandungan bahan bacaan) yang dihasilkan melalui kajian atau yang dicipta secara picisan.
Katanya satu daripada cabaran dihadapi hari ini untuk menggalakkan budaya membaca adalah pengaruh digital ke atas masyarakat kerana pengaruh digital terhadap masyarakat begitu besar sehingga sumber pembacaan tradisional seperti surat khabar dan buku-buku semakin diketepikan.
“Banyak syarikat akhbar terpaksa gulung tikar kerana jualan merosot manakala buku-buku tinggal mengumpul debu di perpustakaan atau di atas rak. Namun begitu, ini tidak bermakna rakyat sudah berhenti membaca. Yang berubah ialah sumber pembacaan.
“Malahan, hari ini hampir kesemua akhbar mempunyai versi digital dan buku-buku juga diterbitkan secara digital. Dari segi itu, pembacaan masih kekal sebagai satu budaya,” katanya dalam ucapan sewaktu melancarkan Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, dekat sini hari ini.
Menyentuh mengenai kepentingan budaya membaca, Dr Mahathir menegaskan ia adalah suatu amalan pemerolehan dan pengukuhan ilmu pengetahuan yang merupakan asas kepada pembangunan diri manusia.