217 pekerja taman tema MAPS terima pampasan RM1.2 juta akhir Februari

IPOH –

Sebanyak 217 pekerja Animation Theme Park Sdn Bhd (ATP) yang diberhentikan serta-merta susulan penutupan taman tema Movie Animation Park Studios (MAPS) pada Januari lepas akan menerima bayaran pampasan pada akhir Februari  ini, menurut Kementerian Sumber Manusia.

Kementerian itu dalam kenyataan  di sini, hari ini menyatakan  bayaran keseluruhan yang dianggarkan RM1.2 juta itu meliputi bayaran gaji tertunggak, bayaran pampasan gaji sebagai ganti notis pemberhentian pekerjaan, bayaran cuti tahunan dan faedah pemberhentian yang perlu dibayar kepada pekerja selaras dengan peruntukan  Akta Kerja 1955.

Menurutnya, pihak Kementerian Sumber Manusia menerusi Menterinya M. Kula Segaran meminta agar proses pembayaran dikendalikan sepenuhnya oleh pihak Penerima Dan Pengurus yang dilantik iaitu Tetuan Ernst & Young.

“Para pekerja juga telah menerima gaji untuk bulan Januari lepas termasuk bayaran kerja  lebih masa bagi bulan Disember 2019 pada 4 Feb lepas.

“Sehingga hari ini, sebanyak 194 daripada 217 pekerja ATP telah berdaftar dan membuat permohonan dengan Perkeso. Daripada jumlah itu, sebanyak 126 permohonan telah diluluskan bagi membolehkan intervensi pihak Perkeso dalam aspek berkaitan Akta Sistem Insurans Pekerjaan Perkeso (EIS).

“Baki sebanyak  23 orang lagi adalah dipohon untuk membuat pendaftaran dan permohonan segera. Para pekerja yang telah membuat potongan dalam EIS berkemungkinan layak mendapat bayaran faedah selepas penamatan di bawah EIS,” menurut kenyataan itu.

MAPS yang dibangunkan dengan kos RM520 juta telah dibuka kepada orang ramai pada Jun 2017.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here