KUALA SELANGOR –
Dua lagi kes positif virus COVID-19 disahkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes setakat ini meningkat kepada 21 kes.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata dua kes terbaru itu melibatkan seorang lelaki dan wanita warga China.
Beliau berkata kes ke-20 ialah seorang ahli perniagaaan lelaki berusia 27 tahun dari Guangzhou yang dikesan bergejala ketika melalui saringan kesihatan di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) di Bukit Kayu Hitam, Kedah semalam.
“Bagi kes ke-21, seorang wanita berusia 32 tahun yang menetap di negara ini tetapi membuat lawatan ke China pada 22 hingga 30 Jan lepas. Beliau disahkan positif COVID-19 pagi ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Desa Aman Desa Coalfield, di sini, hari ini.
Pada majlis itu, Dr Dzulkefly, yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor, menyerahkan kira-kira 5,000 botol cecair pencuci tangan sumbangan Elite Advanced Materials Sdn Bhd, kepada 35 sekolah seluruh daerah itu.