Penugasan 16 anjing baharu dari UK bermula November – KP Bomba

Kota Bharu, Jun-
Sebanyak 16 ekor anjing pengesan (K9) yang kini dalam proses perolehan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari United Kingdom (UK) dijangka memulakan tugas rasmi pada November ini.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohamad, berkata seramai tiga wakil akan dihantar ke UK untuk membuat pemilihan dan penilaian awal bagi tujuan itu.

“Tiga wakil itu adalah daripada JBPM, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang akan berada di sana (UK) selama dua bulan setengah.

“Anjing akan dipilih dan dinilai sebelum ke peringkat akhir, seterusnya dibiarkan menyesuaikan diri dengan tiga wakil yang dihantar dan prosesnya agak rumit.

“Apabila sampai di Malaysia nanti, akan mulakan proses ‘penyuraian’ dengan tiga wakil itu dan diperkenalkan kepada tuan baharu. Selalunya dalam tempoh sebulan sudah serasi, dan memulakan tugas November ini,” katanya selepas merasmikan Program Bicara Governans Integriti dan Anti Rasuah (BiGIAR) di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Kelantan, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah JBPM Kelantan, Farhan Sufyan Borhan; Pengarah Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan (ICU JPM), Jasri Kasim serta Timbalan Ketua Polis Kelantan Deputi Komisioner Mohd Ali Tamby.

Nor Hisham berkata, semua anjing pengesan itu akan ditempatkan di tiga lokasi iaitu Sabah, Sarawak serta Jalan Klang Lama di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, pembelian 16 ekor anjing pengesan dengan kos RM2.4 juta itu bagi penggantian dan penambahan anjing K9 baharu pada tahun ini.

Katanya, keputusan pembelian anjing K9 baharu dari baka Spanish Labrador Ratriever dan English Springer Spaniel itu dibuat atas faktor sebahagian daripada anjing K9 sedia ada sudah melepasi had kecerdasan maksimum iaitu 12 tahun.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here