MELAKA –
Seramai 919 individu ditahan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam keadaan mabuk pada tahun lepas, meningkat seramai 57 orang berbanding 862 orang pada tahun 2018.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Kamarudin Jaffar berkata kerajaan akan meneruskan usaha meminda undang-undang sedia ada berkaitan kesalahan memandu kenderaan dalam keadaan mabuk agar kemalangan jalan raya khususnya yang mengakibatkan kecederaan dan kematian dapat dikurangkan.
Beliau berkata pindaan yang melibatkan kajian pelbagai aspek antaranya hukuman lebih berat dan had kandungan alkohol dalam darah pemandu dijangka dibentangkan di Parlimen pada Jun atau Julai depan.
“Memandu di bawah pengaruh alkohol telah diperketatkan di beberapa negara serta peringkat antarabangsa dan kita berhasrat mengikut standard antarabangsa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Taska JPJ Melaka di sini.