KUCHING –
Dua pelancong Eropah dilaporkan hilang di dalam kawasan hutan dihuni Orang Utan di Pusat Hidupan Liar Semenggoh, kira-kira 25km dari sini,semalam.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Negeri Sarawak memaklumkan laporan kehilangan itu dibuat seorang petugas pusat hidupan liar itu setelah kedua-dua lelaki berkenaan didapati tidak keluar dari kawasan itu selepas ditutup pada 4.30 petang .
“Lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan dengan bantuan pasukan K9 (unit anjing pengesan) telah memulakan operasi mencari dan menyelamat kedua-dua pelancong lelaki berkenaan,” menurut PGO dalam kenyataan.
Maklumat awal diperoleh menyatakan kedua-dua lelaki itu tiba di pusat tumpuan pelancong popular itu kira-kira pukul 8.00 pagi tadi namun mereka tidak dibenarkan masuk kerana tidak mempunyai tiket.
“Ini telah mencetuskan pertengkaran mulut di antara beberapa petugas di pusat itu dengan kedua-dua lelaki berkenaan, namun mereka akhirnya dibenarkan masuk selepas beberapa pelancong lain yang berada di situ membantu membayar tiket mereka,” menurut kenyataan itu lagi.