Tommy Thomas dakwa SPRM berbohong

KUALA LUMPUR:

Bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas menafikan kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa keputusan Mahkamah Sesyen melepas tanpa membebaskan Riza Shahriz Abdul Aziz, kelmarin adalah atas pertimbangan dan dipersetujui beliau ketika masih memegang jawatan itu.

Beliau dalam satu kenyataan hari ini mendakwa dirinya diseret secara salah dan tidak adil ke dalam kes Riza Aziz yang juga anak tiri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Ini merujuk kepada kenyataan akhbar SPRM bertarikh 14 Mei lalu bertajuk ‘Persetujuan dilepas tanpa dibebaskan Riza Aziz, kerajaan bakal terima semula aset USD107.3 juta’.

“SPRM menyebut ‘Persetujuan antara pihak pendakwaan dan tertuduh melalui representasi di mahkamah ini adalah keputusan yang telah dipertimbangkan dan dipersetujui oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas’. Ia adalah satu pembohongan,” katanya.

Tommy berkata Riza didakwa dengan lima tuduhan pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 5 Julai tahun lalu dan beliau membuat keputusan untuk menuduhnya.

“Satu-satunya keputusan lain yang saya ambil dalam kes terhadap Riza adalah melantik Gopal Sri Ram untuk mengetuai pendakwaan.

“Selepas itu saya menyerahkan pengendalian kes itu kepada beliau dan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) dari Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk membantu Sri Ram,” kata Tommy.

Katanya, pada 18 November lalu, peguam Riza mengemukakan representasi bertulis kepada AGC supaya mengkaji semula tuduhan jenayah yang dikenakan terhadap anak guamnya itu.

Tommy menjelaskan bahawa representasi bertulis adalah prosedur biasa dan tidak ada yang pelik mengenainya.

Bagaimanapun, katanya beliau tidak pernah menyetujui permintaan mereka untuk dibebaskan dan surat itu diserahkan kepada Sri Ram untuk dikaji sebelum mengesyorkan respons yang perlu kepadanya sebagai Peguam Negara ketika itu.

“Sehinggalah saya meletakkan jawatan sebagai Peguam Negara pada 28 Februari, saya tidak mendapat nasihat daripada Sri Ram berhubung perkara itu, maka saya tiada kena mengena dengan keputusan representasi Riza.

“Pada sesi pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Tuan Azman Ahmad pada 12 Mac lalu, DPP memohon tarikh baharu untuk kes berkenaan bagi membolehkan AGC membuat keputusan mengenai representasi dikemukakan Riza.

“Menurut laporan media, pihak DPP meminta masa agar Peguam Negara yang baharu dapat mengkaji representasi itu dan nampaknya kes itu ditangguhkan ke 2 April,” kata Tommy.

Beliau mendakwa perkara itu menunjukkan bahawa keputusan mahkamah menerima representasi Riza yang membawa kepada keputusan melepas tanpa membebaskan itu dibuat antara 2 April hingga 14 Mei lalu yang mana beliau bukan lagi Peguam Negara.

Kelmarin, SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan kerajaan dijangka akan menerima semula aset-aset di luar negara berjumlah RM465.3 juta (AS$107.3 juta) ekoran keputusan Mahkamah Sesyen melepas tanpa membebaskan Riza.

SPRM berkata jumlah wang yang dikembalikan itu adalah persetujuan yang dicapai antara pihak pendakwaan dan tertuduh dan ia adalah pelepasan bersyarat.

Menurut SPRM, persetujuan itu dicapai antara pihak pendakwaan dan tertuduh melalui representasi di mahkamah ini adalah keputusan yang dipertimbangkan dan dipersetujui oleh Tommy.

Riza dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen atas tuduhan berkaitan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Riza didakwa atas tuduhan pengubahan wang haram AS$248 juta (RM1.25 bilion) berkaitan penyelewengan dana 1MDB.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here