PUTRAJAYA:
Polis dan tentera akan membuat pemeriksaan mengejut ke rumah kalau didapati banyak kenderaan diletakkan di luar kediaman semasa Aidilfitri.
Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata pihak berkuasa akan membuat rondaan dan memantau setiap rumah sepanjang tempoh kawalan itu, dan akan membuat semakan sewajarnya bagi memastikan arahan kerajaan dipatuhi.
“Ada yang menganggap ketika raya nanti tidak mungkin polis akan pantau setiap rumah tetapi tidak. Polis dan tentera akan pantau pada hari raya pertama dan seterusnya bagi memastikan tatacara operasi standard (SOP) dipatuhi,” katanya pada sidang media hari ini.
Kawalan bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 akan terus dikuatkuasakan sepanjang hari raya, termasuk sekatan merentas negeri. Ziarah dibenarkan dalam negeri dengan had 20 orang pada setiap masa.
Sementara itu, Ismail juga melaporkan 1,633 kenderaan diarah berpatah balik kerana cuba merentas negeri semalam, dengan alasan mahu balik kampung.
Menteri berkata semakin banyak kenderaan cuba merentas negeri semakin dekat Aidilfitri.
“Polis masih lagi timbang rasa tetapi akhirnya sudah tentu akan mengenakan tindakan undang-undang nanti,” katanya.
Sementara itu, penerbangan dalam negeri dan penerbangan dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak masih dikawal. Orang ramai diminta memohon kebenaran polis sebelum membeli tiket penerbangan.