Memang ada upacara perkahwinan di kuil

Polis menafikan dakwaan mengatakan majlis perkahwinan diadakan di sebuah kuil di Seri Kembangan, Selangor hari ini.

Ketua Polis Serdang, Ismadi Borhan berkata berdasarkan soal siasat terhadap penjaga kuil, tiada sebarang aktiviti atau majlis diadakan di kuil itu dalam tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

“Beliau turut menyatakan majlis dalam rakaman video yang tular itu tidak berlangsung pada hari ini.

“Tinjauan dan siasatan anggota polis daripada Balai Polis Seri Kembangan juga mendapati tiada sebarang aktiviti dijalankan di kuil tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Beliau merujuk rakaman video berdurasi 1 minit memaparkan beberapa individu berkumpul dan mengadakan majlis perkahwinan di sebuah kuil di Seri Kembangan.

Ismadi berkata siasatan lanjut masih diteruskan dan polis sentiasa memantau aktiviti di rumah ibadat bagi mencegah penularan Covid-19.

Hari ini, sebuah portal berita melaporkan sebuah kuil di Seri Kembangan dipercayai mengadakan majlis perkahwinan yang dihadiri kira-kira 100 individu.

(updated)

Polis membuka satu kertas siasatan berhubung kejadian sekumpulan individu berhimpun di sebuah kuil Hindu untuk upacara perkahwinan di Seri Kembangan, Serdang dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan, berkata siasatan lanjut polis mendapati memang terdapat satu upacara perkahwinan dijalankan di kuil berkenaan seperti dalam rakaman video yang tersebar.

Hasil soal siasat lanjut polis terhadap pengurusan kuil itu di Jalan SR 5/3 Serdang Raya, Seri Kembangan mendapati mereka akhirnya mengakui ada menjalankan upacara berkenaan.

“Pada mulanya pihak pengurusan kuil menafikan perkara itu namun hasil siasatan lanjut yang dijalankan, mereka akhirnya mengakui memang ada berlangsung perkahwinan itu semalam pada jam 10 pagi dengan kehadiran antara 20 hingga 30 individu.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawalan Tempatan Jangkitan) 2020 dan usaha mengesan semua suspek sedang dilakukan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

“Mangsa yang berusia 41 tahun mendakwa beberapa gambar peribadinya disebarkan melalui beberapa medium kumpulan WhatsApp susulan pendedahan yang dibuatnya melalui artikel berkenaan yang disiarkan di portal berita berkenaan pada jam 12 tengah hari semalam.

“Video berkenaan diambil sendiri mangsa ketika dia dalam perjalanan ke tempat kerja. Dia kini risau akan keselamatan dirinya dan minta kita menyiasat perkara itu.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988,” katanya.

Selain itu, katanya orang ramai diminta bertenang dan tidak mengeluarkan sebarang komen yang boleh memecah keamanan dan mendatangkan kegusaran awam selain terus mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Kerajaan sebelum ini melarang sebarang perhimpunan termasuk di rumah ibadat berikutan pelaksanaan PKPB bagi membendung COVID-19.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here