Tujuh Lagi Positif Di Kuala Langat

Tujuh lagi penduduk dua taman di Kuala Langat dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pentadbiran disahkan positif Covid-19 hari ini, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah itu menjadikan keseluruhan kes positif sebanyak 37 yang berkait dengan kluster pekerja syarikat pembersihan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dikesan minggu lalu.

“Sembilan kes dikesan dari kawasan dikenakan PKP Pentadbiran. Jumlah penduduk disaring setakat ini seramai 4,627 iaitu 3,686 warga tempatan dan 941 warga asing.

“2,253 penduduk disahkan negatif dan kita masih tunggu keputusan 2,244 individu,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Semalam, dua kes positif dilaporkan dari kawasan berkenaan dengan seorang darinya membabitkan kanak-kanak berusia dua tahun.

Taman Langat Murni dan Taman Langat Utama dikenakan PKP Pentadbiran bermula Rabu lalu susulan 20 warga asing yang bekerja dengan syarikat pembersihan di KLIA dan tinggal di situ, disahkan positif Covid-19 minggu lalu.

Bagaimanapun, penduduk dibenarkan keluar masuk kerana pelaksanaan PKP di situ berbeza di tempat lain seperti Selangor Mansion dan Pasar Borong Selayang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here