Pendakwaraya diminta rayu keputusan bebaskan Musa Aman

Negara dikejutkan dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepaskan dan membebaskan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman daripada 46 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.

Malah dalam permohonan semalam dilaporkan pihak Timbalan Pendakwaraya memohon untuk semua pertuduhan digugurkan dengan perintah DNNA iaitu ‘Discharge not amounting to acquittal’ iaitu dilepaskan tanpa dibebaskan.

Namun, atas permohonan peguambela untuk perintah DAA iaitu ‘Discharged and Acquitted’ iaitu dilepaskan dan dibebaskan, Mahkamah telah membebaskan dan melepaskan Musa Aman.

Demikian dinyatakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Faiz Fadzil.

Jelasnya, Peguam Negara telah mengeluarkan kenyataan menjelaskan permohonan penarikan balik semua pertuduhan tersebut terhadap Musa Aman, walau bagaimanapun oleh kerana permohonan asal pihak pendakwaan adalah untuk perintah DNNA, adalah lebih adil dan wajar untuk pihak pendakwaan merayu terhadap keputusan tersebut memandangkan perbicaraan masih belum bermula dimana keterangan masih belum dikemukakan.

“Peguam Negara adalah diminta supaya berpegang kepada keputusan asal yang telah dibuat kerana rayuan ini penting ekoran kesan DAA dari sudut undang-undang adalah beliau tidak lagi boleh didakwa atas kesalahan dan pertuduhan yang sama.

“Ia tidak seperti DNNA apabila seseorang yang didakwa walaupun dilepaskan oleh mahkamah, boleh didakwa semula sekiranya perkembangan positif atau ketetangan baharu dalam kes tersebut.

“Memandangkan pertuduhan yang dikenakan terhadap Musa Aman melibatkan jumlah wang yang besar sebanyak USD50.1 juta dan ia merupakan satu kes kepentingan awam, maka adalah lebih adil dan wajar rayuan dibuat,” tegasnya.

Tambah Faiz, ia juga dapat meletakkan kembali keyakinan umum terhadap integriti sistem keadilan negara, apatah lagi salah seorang peguambela Musa Aman mendakwa sumbangan dana politik bukan suatu kesalahan, namun Mahkamah Persekutuan dalam kes bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Harun Idris memutuskan sumbangan untuk tabung Umno Selangor sebagai rasuah.

Di samping itu tegas beliau, seksyen 3 Akta SPRM 2009 menafsirkan derma sebagai suapan. Oleh kerana pertuduhan terhadap Musa Aman belum diputuskan atas merit, maka adalah lebih adil dan wajar keputusan ini dirayu supaya pendakwaan boleh dikaji semula jika perlu dan sesuai.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here