Majikan jangan terburu-buru buang pekerja

Majikan dinasihatkan tidak memberhentikan kakitangan di syarikat masing-masing khususnya pekerja tempatan secara terburu-buru walaupun sedang mengalami kesukaran terutama dalam tempoh penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Exco Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan negeri, Datuk Seri Mohd Johari Hussain berkata, kerajaan negeri sebelum ini telah mengadakan perbincangan dengan beberapa majikan berhubung isu pemberhentian pekerja dan meminta mereka mencari jalan penyelesaian secara menang-menang antara majikan dan pekerja.

Beliau turut berharap supaya pihak terlibat bersabar berdepan dengan situasi dialami ketika ini.

“Kerajaan negeri bukan mahu menganiayai mana-mana pihak (majikan) tetapi hanyalah menasihati majikan supaya bersabarlah.

“Kita masih menerima aduan tentang majikan yang mengurangkan tenaga kerja tempatan secara melulu bagi mengurangkan bebanan syarikat.

“Situasi ini berlaku susulan majikan tidak mampu menampung perbelanjaan akibat terhentinya operasi harian dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang baru tamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya memahami kepayahan dialami majikan-majikan untuk terus menampung kos operasi syarikat namun mereka perlu mengambil kira kesukaran pekerja-pekerja yang lebih berdepan kesukaran tanpa punca pendapatan sah.

Jelasnya, majikan dan pekerja harus lengkap-melengkapi dalam tempoh ini dengan memahami kesukaran dan kepayahan dialami kedua-dua pihak.

 “Justeru, pihak majikan juga dinasihatkan supaya merujuk apa juga tindakan bersandarkan Akta Kerja 1955.

“Akta itu menggariskan secara jelas tentang tanggungjawab mereka terhadap pekerja khususnya dalam soal pemberhentian,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here