Bomba Selamatkan Lelaki Sesat Ketika Mendaki Di Bukit Hijau

Seorang lelaki yang mendaki Bukit Hijau, Jelutong, di sini berjaya diselamatkan anggota bomba selepas sesat di bukit berkenaan, hari ini.

Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, pihak bomba menerima panggilan kecemasan daripada seorang wanita pada 8.56 malam ini memaklumkan anak lelakinya, Leow Su En, 24, telah sesat ketika mendaki.

“Menurut wanita itu, anaknya pergi mendaki pada 5 petang tadi dan tidak pulang selepas tiga jam sebelum dia cuba menghubungi telefon bimbit mangsa beberapa kali dan panggilan dijawab lelaki tersebut pada 8.30 malam memaklumkan dia telah sesat.

“JBPM Pulau Pinang kemudiannya menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan tersebut berdasarkan maklumat diberi mangsa kepada ibunya,”katanya di sini malam ini.

Jurucakap itu berkata lelaki berkenaan ditemukan dalam keadaan selamat kira-kira 10.15 malam dan diberikan air serta rawatan sebelum diserahkan kepada keluarga.

Katanya berikutan penemuan mangsa, pihaknya menamatkan operasi SAR.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here