Seorang siswa sebuah universiti sanggup menggunakan wang saku untuk kegunaan kuliah demi memuaskan nafsu dengan melanggan tukang urut wanita, Selasa lalu.
Bagaimanapun, ia berakhir dengan tragedi apabila lelaki berkenaan membunuh wanita bernama Monika itu.
Suspek ditahan polis untuk siasatan lanjut selepas bersembunyi di rumah ibu saudaranya.
Ia selepas bertengkar kerana tidak berpuas hati dengan bayaran yang diminta wanita itu untuk perkhidmatan ‘tambahan’.
Portal Kompas melaporkan suspek berkenalan dengan mangsa menerusi media sosial sebelum bersetuju mendapatkan perkhidmatan urutan yang ditawarkan wanita berkenaan dengan harga 900,000 Rupiah (kira-kira RM270).
Suspek mengakui menggunakan wang kuliah pemberian ibu bapanya bagi mendapatkan perkhidmatan urutan itu sebelum mengajak mangsa ke rumah sewanya.
Sebaik tiba, mangsa menawarkan perkhidmatan ‘tambahan’ kepada suspek dengan memberi syarat lelaki perlu membayar 300,000 Rupiah (kira-kira RM90) sebelum melakukan hubungan intim.
“Belum sempat melakukan hubungan intim, tukang urut itu sudah meminta bayaran namun saya enggan menyebabkan dia marah dan mahu menjerit meminta tolong.
“Terkejut dengan tindakan wanita itu selain bimbang perbuatan itu diketahui umum, saya mengambil pisau lipat sebelum menikam lehernya,” kata suspek di Balai Polis Surabaya seperti dilaporkan Surya.co.id pada Rabu.
Ketua Polis Surabaya, Hartoyo berkata, suspek kemudian cuba untuk membakar mayat mangsa namun bimbang api pembakaran akan turut merosakkan rumah menyebabkan lelaki itu membatalkan hasratnya.
Katanya, polis yang mendapat maklumat mengenai kejadian itu kemudian segera mengesan suspek sebelum berjaya menahannya di rumah ibu saudaranya di Kota Surabaya untuk siasatan lanjut.