Lima pengeluar makanan ayam didenda RM415 juta

Kuala Lumpur, Dis 22.
Lima syarikat pengeluar makanan haiwan ternakan dikenakan penalti bernilai RM415.5 juta selepas didapati bersalah menetap dan menyeragamkan secara bersama harga produk mereka, bagi ayam untuk pasaran tempatan.

Syarikat itu ialah Dindings Poultry Development Centre Sdn Bhd (Dinding), FFM Berhad (FFM), Gold Coin Feedmills (M) Sdn Bhd (Gold Coin), Leong Hup Feedmill (M) Sdn Bhd (Leong Hup), PK Agro-Industrial Products (M) Sdn Bhd (PK Agro).

Lima daripada 29 syarikat pengeluar makanan haiwan ternakan di seluruh negara itu dianggarkan menguasai sehingga 40 peratus pasaran makanan ternakan ayam di negara ini. Suruhanjaya Persaingan (MyCC) dalam keputusannya berkata, mereka didapati melanggar Seksyen 4(1) Akta Persaingan 2010 kerana membuat perjanjian mendatar atau menegak dilarang antara perusahaan dengan matlamat atau kesan menghalang, menyekat atau mengganggu persaingan secara signifikan dalam apa-apa pasaran barang atau perkhidmatan.

Katanya, kelima-lima perusahaan itu didapati bersalah kerana berpakat menaikkan harga makanan ternakan ayam menerusi beberapa platform, termasuk hubung kait rekod komunikasi bersama pengurusan tertinggi, nota mesyuarat dan keterangan saksi, di antara Januari 2020 hingga Jun 2022.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here