IMBAS KEMBALI Ular sebesar tong di Tasik Chini

Seorang pemandu bot pelancong terpaksa berhenti bekerja selepas mendakwa terserempak seekor ular besar berwarna hitam di Tasik Chini pada 1980-an.

“Itu kali pertama saya melihat ular sebesar tong dram. Saya terus berhenti bekerja sebagai pemandu bot selepas kejadian itu dan sampai sekarang, saya tidak lagi berani turun ke sana,” kata Mohd Razali M Baki, 62, yang menetap di Kampung Felda Chini, sejak 34 tahun lalu.

Beliau berkata, kisah mengenai ‘Naga Tasik Chini’ atau ‘Naga Sri Gumum’ sudah diceritakan oleh nenek-moyang mereka sejak zaman berzaman tetapi mengakui tidak pernah ternampak naga berkenaan.

“Boleh dikatakan kami membesar dengan kisah ‘Naga Tasik Chini’. Ada macam-macam versi. Namun, sampai sekarang, kita tidak tahu ia wujud atau tidak,” katanya.

Mohd Razali mengakui bulu romanya meremang setiap kali menceritakan kembali pengalamannya itu kerana kejadian itu berlaku di depan mata dan sampai sekarang tidak dapat dilupakannya.

“Saya cuba mengelak jika ada yang minta saya ceritakan kembali pengalaman itu. Ia bukan pengalaman yang manis, tapi cukuplah untuk dijadikan pedoman.

“Kita tidak boleh terlalu mencabar alam. `Mereka’ ada semangat atau elemen mistik yang tidak kita fahami. Jangan kita cabar ‘mereka’, silap-silap buruk padahnya,” katanya.

  Beliau berkata, sekitar tahun 1990-an, ada sekumpulan kru penerbitan drama membuat penggambaran di sekitar Tasik Chini dan menetap di chalet berhampiran tasik berkenaan.

 Katanya, seorang daripada kru penerbitan itu dipercayai melanggar syarat ditetapkan Orang Asli dan mengakibatkan mereka semua tidak dapat tidur semalaman akibat menerima gangguan.

“Benda seperti ini berlaku, jangan bercakap besar dan jangan mencabar ‘mereka’. Kuasa alam ini, kita tidak tahu sejauh mana mereka mahu menguji kita.

 “Bukan bermakna kita takut tapi kita kena hormati ‘mereka’ bagi memastikan tidak ada benda pelik berlaku,” katanya.

Kebanyakan mitos mengenai Tasik Chini diperoleh daripada Orang Asli yang mula-mula meneroka kawasan berkenaan.

 Seorang lagi penduduk, Mohd Fikri Amin Adenan, 37, berkata Tasik Chini menyimpan banyak misteri.

 Katanya, ada penduduk kampung berkenaan pernah didatangi ‘lembaga hitam’ selepas membunuh seekor ular di tasik berkenaan ketika cuba melepaskan pukatnya yang tersangkut.

 “Sebagai generasi kedua yang menetap di FELDA Chini, saya banyak dengar kisah misteri daripada orang lama. Secara peribadi saya belum mengalami sebarang kejadian mistik, namun ia tidak bermakna saya tidak mempercayainya.

“Kisah misteri ‘Naga Tasik Chini’ dan kewujudan bandar lama serta piramid di dasarnya juga belum terbukti kebenarannya. Namun, jika benar ada pihak pernah datang melakukan kajian, kemungkinan piramid itu wujud ada asasnya.

“Kalau tidak, kenapa mereka perlu bersusah-payah datang ke sini,” katanya.

 Mohd Fikri berharap biarlah misteri menyelubungi Tasik Chini bersemadi tanpa gangguan.

 Katanya, proses pembangunan di kawasan tasik itu perlu diberi perhatian bagi mengelakkan keindahan Tasik Chini lenyap hingga tidak dapat lagi menarik kedatangan pelancong.

Tasik Chini

– Tasik semula jadi seluas 5,026 hektar yang berada di tengah Pahang.

– Menjadi habitat 138 spesies flora, 144 spesies ikan air tawar dan kira-kira 300 spesies hidupan bukan akuatik.

– Terkenal dengan kisah mitos mengenai naga, bahkan turut dijadikan pusat kajian kewujudan Kota Lama Empayar Khmer yang berada di dasarnya.

– Terdapat 12 tasik atau pulau di Tasik Chini yang membentuk tasik sebagai tasik kedua terbesar di Semenanjung Malaysia.

– Semua tasik atau pulau di Tasik Chini dikenali sebagai ‘laut’ oleh penduduk tempatan, antaranya dipanggil Laut Gumum, Laut Pulau Balai, Laut Chendahan, Tanjung Jerangking, Genting Teratai, Mempitih, Kenawar, Serodong, Melai, Batu Busuk, Labuh dan Jembarau.

– Diiktiraf sebagai kawasan rizab biosfera oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO)

– Kira-kira 500 penduduk Orang Asli tinggal di beberapa kampung sekitar Tasik Chini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here