53 keluarga akan dapat bekalan letrik

Seramai 215 penduduk membabitkan 53 keluarga Orang Asli suku kaum Jakun di Kampung Bendaling dekat sini, kini boleh menarik nafas lega apabila hasrat mereka untuk menikmati kemudahan bekalan elektrik akan terlaksana tidak lama lagi.

Tok Batin kampung tersebut Manda Mat, 62, berkata penduduk kampung gembira kerana setelah menunggu sekian lama akhirnya mereka akan dapat nikmati kemudahan itu.

Katanya tiang elektrik telah pun dipasang Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebelum ini namun dihentikan kerja-kerjanya seketika berikutan pandemik COVID-19 dan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lepas

“Ini merupakan tanah adat kami dan sudah beberapa generasi tinggal di sini tanpa bekalan elektrik,” katanya selepas program penduduk Orang Asli bersama calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Mohd Sharim Md Zain di kampung itu hari ini.

Manda berkata bekalan elektrik itu dilihat akan memberikan banyak kemudahan kepada masyarakat Orang Asli di kawasan berkenaan yang selama ini menggunakan pelita yang diisi dengan minyak sawit relai, yang dikutip berhampiran ladang di kawasan itu.

Terdahulu, Anggota Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berucap pada program itu berkata beliau telah menghubungi Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah untuk memastikan TNB menyambung elektrik terus ke setiap kediaman komuniti itu menerusi projek pemasangan tiang TNB yang dilaksanakan sebelum ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here