Invest Selangor Berhad bakal menganjurkan seminar secara maya membabitkan sektor pengangkutan, mesin dan kelengkapan, kata ketua pegawai eksekutifnya.
Dato’ Hasan Azhari Idris berkata seminar mengikut norma baharu menyasarkan penyertaan antara 500 hingga 1,000 pemain industri tempatan dan antarabangsa.
“Selepas ini Invest Selangor perlu lakukan lebih banyak pendekatan secara maya dan kita menggiatkan kerjasama dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia untuk merancakkan ekonomi negeri dan negara” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Invest Selangor Berhad dan Industri Aeroangkasa Malaysia di Bangunan SUK semalam.
Pada 9 Jun lalu, Selangor menetapkan semua ekspo, seminar dan mesyuarat pelaburan dilaksanakan dalam talian selepas promosi pelaburan tempatan dan luar negara dibatalkan susulan Covid-19.
EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim turut menyarankan penilaian semula penganjuran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) pada Oktober.
SIBS 2020 dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 14 hingga 17 Oktober meliputi Ekspo Antarabangsa Selangor, Konvensyen Bandaraya Pintar dan Ekonomi Digital Selangor, Persidangan Perniagaan Selangor-ASEAN serta Ekspo R&D dan Inovasi Selangor.