Sri Lanka sekat media sosial, bendung protes anti-kerajaan

Sri Lanka menyekat akses kepada platform media sosial hari ini, selepas pihak berkuasa mengenakan perintah berkurung di seluruh negara bagi membendung bantahan yang semakin meningkat berhubung krisis ekonomi negara itu. Seorang pemantau bebas mengesahkan, data rangkaian masa nyata menunjukkan Sri Lanka telah mengenakan pemadaman media sosial di seluruh negara.

“Pemerintah negara itu menyekat akses kepada platform termasuk Twitter, Facebook, WhatsApp, YouTube dan Instagram,” kata pemantau gangguan internet yang berpangkalan di London NetBlocks. AFP turut mengesahkan, tiada satu pun daripada lima platform itu boleh diakses daripada penyedia perkhidmatan internet tempatan.

Atas permintaan Kementerian Pertahanan, penyedia perkhidmatan diminta menyekat sementara platform media sosial, kata penyiar itu, memetik pengawal selia media Sri Lanka. Polis mengesahkan seorang aktiviti media sosial ditahan Jumaat lalu, kerana didakwa memuat naik bahan yang boleh menghasut dan menggugat ketenteraman awam.

Penguasa Kanan Polis, Nihal Thalduwa berkata, juga mengesahkan sekatan yang dikenakan ke atas platform media sosial. Media sosial juga sudah disekat oleh Suruhanjaya Kawal Selia Telekomunikasi, katanya.

Sekatan itu dibuat selepas kerajaan semalam melaksanakan perintah berkurung di seluruh negara ketika protes terhadap pengendalian kerajaan terhadap krisis ekonomi bertukar menjadi ganas. Thalduwa berkata, setakat ini, 664 orang yang melanggar peraturan perintah berkurung ditahan di wilayah Barat, bahagian pentadbiran paling ramai penduduk di negara itu termasuk Colombo.

Pengerusi Suruhanjaya Kawal Selia Telekomunikasi Jayantha de Silva pula berkata, pihak berkuasa mengenakan sekatan ke atas media sosial berikutan arahan daripada kerajaan. Sekatan media sosial adalah sementara dan dikenakan atas arahan khas yang diberikan oleh Kementerian Pertahanan. Ia dikenakan demi kepentingan negara dan rakyat untuk mengekalkan ketenangan, katanya. – AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here