Selangor menggunakan kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) premis sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Pemulihan.
EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata langkah tersebut memudahkan pihak berkuasa tempatan menjaga keselamatan orang awam tanpa kerap turun padang.
“Pemasangan CCTV sudah lama dilaksanakan di Selangor untuk pelbagai tujuan dan dimanfaatkan ketika PKP mulai 18 Mac lalu.
“Walaupun tiada penguat kuasa turun padang tetapi CCTV ada untuk pantau, justeru pastikan anda sentiasa patuhi SOP untuk mencegah jangkitan wabak,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.
Pada 1 November 2019, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan tambahan 5,000 unit CCTV di seluruh negeri yang dilengkapi teknologi pengimbas wajah dan diselia dari pusat arahan.