Perak Dalam Usaha Cari Pelabur Buka Semula MAPS

Kerajaan Perak sedang dalam usaha untuk mencari pelabur bagi mengambil alih pengurusan Taman tema Movie Animation Park Studios (MAPS) dalam merancakkan lagi sektor pelancongan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pelancongan, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, beliau berharap agar taman tema tersebut dibuka semula namun ianya masih dalam proses pencairan aset.

Katanya, pembukaan MAPS juga bukan lagi berada di bawah kerajaan negeri namun akan beralih kepada pelabur swasta.

“Memang harapannya (dibuka semula) begitu tetapi sekarang ianya (MAPS) di bawah proses pencairan aset dan masih dalam usaha mencari pelabur untuk datang dan mengambil alih pengurusan taman tema.

“Tiada tempoh masa tetapi saya tahu ianya ditawarkan tapi saya tiada sebarang petunjuk mengenai jangka masa pembukaan,” katanya.

MAPS dibangunkan dengan kos RM520 telah ditamatkan operasi selepas notis penutupan dikeluarkan oleh The Receiver and Manager Animation Theme Park Sdn Bhd (ATP), daripada Messrs Ernst & Young pada 28 Januari 2020.

Beliau berkata demikian selepas perasmian majlis Mega FAM Tour anjuran Malaysia Inbound Chinese Association (MICA) di The Heaven Resort Hotel, di sini hari ini.

Sementara itu katanya berkenaan dengan produk pelancongan di Perak, pihak kerajaan akan cuba mengubah rentak dan menawarkan pakej-pakej yang berlainan hasil daripada terwujudnya market baru dan permintaan baru yang terbentuk hasil daripada pendermik Covid-19.

“Salah satu yang saya ingin tekankan sini, Perak bersama-sama dengan pemain industri dengan kerjasama daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan cuba memberikan rasa selamat dan suasana selamat kepada pelancong yang datang khususnya buat pelancong domestik melalui Perak Good Practise Guide yang telah dilancarkan bulan lepas,” katanya.

Dalam perkembangan sama menurut Nolee Ashilin, perkhidmatan Bas Hop On Hop Off (HOHO) pula akan bermula pada Ogos ini.

“Buat masa ini, kita kekalkan lokasi tetapi pada masa akan datang akan ada produk baru dan akan ada penambahan lokasi” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here