Anak pelakon veteran didenda RM10,000 jual produk kesihatan tidak berdaftar KKM

Anak kepada pelakon veteran Normah Damanhuri, Rose Azlin Rosli didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam kerana menjual dan memiliki produk KM Sampah Cleanse yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan (KKM).

Majistret M. Bharat menjatuhkan hukuman itu terhadap Rose Azlin, 46, selaku Orang Kena Saman (OKS) mewakili syarikat KM Beauty House selepas dia membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mahkamah turut memerintahkan OKS menjalani hukuman penjara empat bulan sekiranya tidak membayar denda. OKS membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, Rose Azlin yang hadir ke mahkamah memakai baju kurung biru dituduh memiliki 99 peket produk KM Sampah Cleanse yang tidak berdaftar di bawah KKM yang melanggar Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, dengan tujuan untuk menjual produk itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di premis Chamomile Beauty House di No 65, Tingkat 1, Jalan SS19/6, Subang Jaya, dekat sini pada 11.20 pagi, 21 Jan lepas mengikut Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM25,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Rose Azlin yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan ketika kejadian produk berkenaan sedang dalam proses untuk mendapatkan kelulusan KKM.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Mohd Helmi Azman dari Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Jabatan Kesihatan Selangor, memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada OKS atas alasan produk tersebut telah diiklankan dalam laman sosial yang boleh diakses umum.

“Sebagai orang yang dikenali, OKS seharusnya memastikan produk kesihatan yang ingin dijual atau digunakan berdaftar dengan KKM supaya ia selamat digunakan oleh pengguna,” katanya.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here