Lanjut Pelajaran: Sijil Sokongan Luar Negara, Surat Tiada Halangan Dimansuhkan

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memansuhkan pengeluaran Sijil Sokongan Luar Negara (SSLN) dan Surat Tiada Halangan (STH) berkuat kuasa serta merta.

KPT dalam kenyataan hari ini memaklumkan pemansuhan itu dibuat kerana terdapat segelintir pihak yang menyalahgunakan serta menciplak dokumen tersebut untuk kepentingan sendiri.

Menurut kementerian itu, tujuan asal pengeluaran SSLN dan STH adalah sebagai mekanisme kawalan terhadap kualiti pelajar Malaysia yang berhasrat melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah di luar negara, jelas kementerian itu.

“Sehubungan itu, SSLN dan STH tidak akan dikeluarkan lagi oleh Kementerian Pengajian Tinggi,” jelas kementerian itu.

Menurut KPT, pelajar Malaysia yang berhasrat untuk melanjutkan pengajian di luar negara dinasihatkan supaya memastikan institusi pengajian tinggi luar negara serta program yang dipilih atau ditawarkan adalah yang diiktiraf.

Pelajar boleh merujuk laman web Sistem Pengiktirafan Kelayakan Perkhidmatan Awam (eSisraf) (www2.mqa.gov.my/esisraf/) untuk mendapatkan senarai sijil, diploma dan ijazah pertama luar negara yang diiktiraf oleh kerajaan Malaysia bagi tujuan permohonan dan pelantikan jawatan dalam perkhidmatan awam.

“Pelajar juga digalakkan untuk membuat semakan dan mendapatkan pengesahan tentang status pengiktirafan kelayakan yang dianugerahkan oleh pemberi pendidikan tinggi luar negara daripada pihak berkuasa dan badan jaminan kualiti negara tersebut,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here