Dua majikan didenda RM18,000 benar PATI tinggal di premis

Dua majikan masing-masing didenda RM12,000 dan RM6,000 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan membenarkan warga asing tanpa permit tinggal di premis mereka.

Hakim, Nooriah Osman membuat keputusan itu selepas kedua-duanya, Abdul Hakim Maznung, 34, dan Ramli Mohd, 56, mengaku bersalah terhadap pertuduhan masing-masing.

Mahkamah turut mengarahkan Abdul Hakim dipenjara selama empat bulan dan Ramli pula selama dua bulan sekiranya mereka gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut kertas pertuduhan, Abdul Hakim didakwa membenarkan dua imigran haram dari Kemboja masuk atau tinggal di premisnya iaitu tapak projek membuat tiang larik di Jalan Abdul Jalil Nibong, Dungun pada 26 Februari lalu.

Ramli pula didakwa membenarkan seorang imigran haram warga Bangladesh tinggal di premisnya di tapak pembinaan di kawasan perindustrian Halal Park Gong Badak, Kuala Nerus pada 28 Jun lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 55E (1) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 55E (2) akta yang sama.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen Terengganu, Juliayana Hasan@Jaafar sementara kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here